Nasihat Dr. Abdullah Nasih Ulwan


.

Nasihat Dr. Abdullah Nasih Ulwan

Thu Nov 8, 2007 4:47 pm (PST)

Sebab-sebab Penyelewengan Anak-anak dan Cara Memperbaikinya
Dipetik daripada sumber: Tarbiatul Aulad fil Islam (Pendidikan Anak-anak Dalam Islam) oleh Dr. Abdullah Nasih Ulwan

Masa Lapang yang Mempengaruhi Anak-anak dan Anak Belasan Tahun

Di antara gejala-gejala asasi yang biasanya membawa kepada penyelewengan anak-anak, ialah tidak mendapat faedah dari masa lapang yang mempengaruhi anak-anak dan yang berbelas tahun (baru cukup umur). Sebagaimana yang sudah termaklum, bahawa anak-anak itu memang gemar bermain dari sejak masa kecil lagi, cenderung kepada pengembaraan, sukakan masa lapang, dan bersenang-lenang dengan pemandangan yang tabi'i. Kita senantiasa mendapati mereka amat cergas bermain dengan anak-anak yang sama umur dengannya, berkejar-kejaran di sana-sini, memanjat pokok, berolahraga dan bermain dengan berbagai-bagai permainan, termasuk bermain bola dan sebagainya.

Adalah wajar sekali atas para pendidik untuk menggunakan peluang ini sepenuhnya bagi anak-anak, supaya mereka dapat memenuhi masa-masa lapang mereka itu dengan gerakan-gerakan yang boleh menjadikan badan mereka sihat, dan segala anggota-anggota mereka menjadi kuat, agar badan mereka menjadi cergas.

Jika mereka tidak mendapat tempat-tempat untuk bermain dan berolahraga yang bersih, ataupun tidak ada kelab-kelab yang sesuai untuk beriyadhah dan membentuk kekuatan, ataupun kolam-kolam air untuk belajar berenang, ataupun padang-padang untuk kecergasan badan dan gerakan-gerakan yang lain, kelak tentulah mereka akan bercampur gaul dengan teman-teman jahat, dan kawan-kawan yang rosak dan merbahaya, dan demikian ini tentu sekali akan membawa mereka kepada kecelakaan dan penyelewengan.

Islam dengan petunjuk-petunjukny a yang tinggi, sebenarnya telah memulihi masa lapang bagi anak-anak dan yang sudah dewasa dengan cara-cara yang praktikal untuk menyihatkan badan-badan mereka dan menguatkan anggota-anggota mereka, supaya mereka memperoleh kesihatan yang cukup, kecergasan dan semangat.

Antara cara-caranya yang terutama sekali, ialah membiasakan mereka mengerjakan berbagai ibadat, dan yang terkhusus sekali ialah solat yang dikira oleh Islam sebagai tiang agama, dan tapak bangunannya, serta rukunnya yang asasi, disebabkan ia mengandungi faedah-faedah rohani, kemanfaatan badan, serta kesan-kesan moral dan jiwa.

Di sini kita akan menghitung secara ringkas faedah-faedah solat kepada badan, supaya diketahui oleh siapa yang mahu tahu keutamaannya, dan sebab pensyariatannya.

Solat itu merupakan suatu riyadhah (gerak badan) yang mesti, di mana setiap Muslim menggerakkan semua anggotanya dan tulang-tulang pangkalnya, dan tiada sepi lagi bahawa dalam pergerakan ini terdapat kecergasan bagi semua anggota-anggota badan, urat-urat sendi dan pusingan darah.
Solat merupakan satu kebersihan yang dipaksakan, kerana sebelum solat itu dimestikan berwudhu', padahal wudhu' itu tiada lain melainkan untuk membersihkan segala anggota yang zahir, dan membersihkan juga rambut, mulut, hidung dan gigi. Ini selain daripada mandi wajib dan mandi yang sunat, dan selain juga kebersihan badan, pakaian dan tempat. Semua ini adalah menjadi syarat untuk sahnya solat.
Solat merupakan kebiasaan berjalan; iaitu apabila seseorang itu berjalan ke masjid lima kali sehari, siang dan malam, dan tiada sepi lagi bahawa dalam pergerakan berjalan itu, pergi dan balik, memberikan kecergasan kepada badan serta menghilangkan letih dan malas.

Bukankah sering kita mendengar dari para doktor yang mengatakan, bahawa pergerakan badan dengan berjalan dan beriyadhah sesudah makan, akan menjauhkan penyakit perut dan susah hazam, dan juga lelain penyakit dan bahaya.

Kalau begitu, tiadalah hairan lagi, jika kita telah mendengar dari siapa yang tiada mengucapkan dari hawa nafsunya (yakni Nabi Muhammad SAW) yang telah menganjurkan para ayah dan para pendidik untuk menyuruh anak-anak mereka bersembahyang pada usia tujuh tahun, supaya mereka terbiasa dengannya, serta menghabiskan masa lapang mereka untuk mempelajari sembahyang dan mempraktikkannya.

Kini marilah dengar apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang berkaitan dengan maksud ini, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Hakim dan Abu Daud, yang bermaksud,

"Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun, dan pukullah mereka untuk bersembahyang pada usia 10 tahun, dan pisahkan antara mereka pada tempat tidur."

Ini selain masa yang dihabiskan oleh anak itu di waktu lapangnya untuk mempelajari cara-cara bersembahyang, gerak-gerinya, bacaannya, bilangan rakaatnya, yang mana fardhu, dan yang mana sunat, dan tata tertibnya, sama ada di rumah diajarkan oleh pendidiknya, ataupun di masjid diajarkan oleh gurunya.

Di antara cara-cara yang praktikal yang dianjurkan oleh Islam untuk memenuhi masa lapang anak-anak, ialah menyuruhnya belajar cara-cara berperang, menunggang kuda, berenang, melompat, bergusti, dan seumpamanya.

Islam juga menganjurkan anak-anak untuk memenuhi masa lapang dengan bermutalaah (membaca) buku-buku yang baik, berkelah yang bersih dari dosa, dan beriyadhah yang berbagai-bagai. Ini semua tentu tidak mungkin, kecuali jika disediakan tempat permainan yang besar, kelab-kelab yang luas, perpustakaan yang termasyhur, organisasi untuk umum, dan kolam-kolam air yang bersih, dengan syarat semua ini tunduk di bawah pengarahan hukum-hukum Islam, dan adab-adabnya yang mulia.

Berikut perhatikanlah petunjuk-petunjuk Islam dalam menyediakan cara-cara yang membolehkan cadangan-cadangan ini:

Allah SWT telah berfirman, yang bermaksud;

"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu…"
(Al-Anfal: 60)


Allah SWT telah berfirman lagi, maksudnya;

"Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?. ..
(Az-Zumar:9)

Berkata Umar bin Al-Khattab r.a:
"Ajarkanlah anak-anak kamu bermain panah, berenang, dan suruh mereka berlatih lompat ke atas kuda."

Al-Hakim dan Al-Baihaqi telah meriwayatkan daripada Rasulullah SAW sabdanya, yang bermaksud,

"Rebutlah lima sebelum lima: Masa hidupmu sebelum mati, masa sihatmu sebelum sakit, masa lapangmu sebelum sibuk, masa mudamu sebelum tua, dan masa kayamu sebelum miskin."

An-Nasa'i dan At-Termidzi telah meriwayatkan, bahawasanya Nabi SAW telah bersabda, yang bermaksud,

"Berlatih memanah dan menunggang, dan jika kamu pandai memanah lebih aku sukai daripada kamu menunggang."

Ath-Thabarani dan Al-Hakim telah meriwayatkan daripada Rasulullah SAW bahawasanya baginda telah bersabda, yang bermaksud,

"Segala sesuatu yang tiada berkaitan dengan mengingati Allah adalah sia-sia, ataupun permainan, ataupun kelalaian, melainkan empat perkara, iaitu: Berlatih memanah antara dua benda, melatih kudanya, bergurau dengan isterinya dan belajar berenang."

Muslim telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya,

"Orang Mu'min yang kuat lebih utama dan lebih dikasihi Allah daripada Mu'min yang lemah, dan semua itu ada baiknya. Jagalah baik-baik apa yang boleh memberikan manfaat kepada anda, dan sentiasalah memohon bantuan daripada Allah, dan janganlah bersifat malas! Andaikata anda ditimpa sesuatu, janganlah katakan 'Kalaulah aku buat begini tentulah tidak berlaku," tetapi katakanlah: Allah yang telah mentakdirkan, dan apa yang dikehendaki Allah dilakukanNya, kerana 'Kalaulah' itu membuka pintu untuk campurtangan syaitan."

Dan lain-lain lagi dari petunjuk-petunjuk agama yang bernilai dan berguna sekali. Andaikata para pendidik mengambil berat terhadap petunjuk-petunjuk Islam ini, nescaya yang demikian itu akan menguntungkan anak-anak mereka dari segi kesihatan, ilmu pengetahuan dan kekuatan, dan tentulah yang demikian itu akan menghalang mereka dari petualangan, keciciran dan penyelewengan, dan nescaya mereka dapat mengisi masa lapang mereka dengan kerja-kerja yang mendatangkan manfaat kepada diri mereka, kepada agama mereka, dan kepada dunia dan akhirat mereka. Dan nescaya mereka akan menjadi generasi-generasi Islam yang berguna, menjadi tentera-tenteranya yang gagah berani, menjadi da'i-da'inya yang lupus serta anak-anak mudanya yang bekerja untuk kebaikan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails