Jangan Ada Benci...


.


Oleh Dato' Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah

Jangan Ada Benci Di Hati

Ramai juga orang yang gagal dalam pergaulan kerana menyimpan
perasaan BENCI dalam hati mereka. Tuhan itu maha adil. Perasaan
benci dalam diri kita akan menyebabkan ramai orang mudah benci
terhadap kita. Misalnya, orang yang membenci ibu bapanya mungkin
akan dibenci oleh rakan-rakannya. Orang yang membenci jirannya atau
bekas kekasihnya mungkin akan dapat kebencian daripada rakan
sekerjanya atau malahan ketua jabatannya. Justeru hapuskanlah segala
perasaan benci daripada hati kita agar kita mudah menjalin hubungan
dengan orang lain.

Kaedah Mengikis Benci

Cara yang terbaik untuk mengikis benci ialah dengan memaafkan semua
orang sebelum tidur malam. Jika setiap malam sebelum tidur kita
sentiasa mencuci muka,memberus gigi, membersihkan diri dan mengibas
tempat tidur, tidak bolehkah kita mencuci hati kita dengan
memaafkan semua orang sebelum tidur? Pengalaman secara peribadi
penulis menunjukkan bahawa dengan memaafkan semua orang sebelum
tidur, kita akan dapat membersihkan hati serta menenangkan fikiran
dan mudah menjalin hubungan baik dengan orang lain.

Faktor-faktor Yang Boleh Merangsang Kehebatan Dalam Pergaulan Antara
faktor yang menyebabkan kita mudah berinteraksi dengan orang lain
dan orang lain mudah tertarik kepada kita ialah:

1) Jaga solat dan lakukan ibadah-ibadah khusus dan umum yang lain.

2) Sentiasa bersangka baik terhadap semua orang(walaupun kita perlu
berwaspada setiap masa).

3) Sentiasa memberikan senyuman ikhlas kepada orang di sekeliling
kita.

4) Banyakkan bersedekah, samada dalam bentuk wang, senyuman, bantuan
tenaga, masa, nasihat, idea, pandangan, sokongan moral dan doa yang
berterusan.

5) Sentiasa memperbanyakkan sabar. Nabi s. a. w. pernah berpesan
supaya mencari 144 sebab sebelum kita memarahi orang.

6) Sentiasa ceria apabila berjumpa dengan orang lain. Pastikan
setiap orang seronok berinteraksi dengan kita.

7) Pamerkan perasaan sayang dan sentiasa sayang-menyayangi antara
satu dengan yang lain.

Bentuk dan pamerkan sahsiah yang positif setiap masa. Peribadi yang
kurang sopan akan menyebabkan orang lain rasa mual terhadap kita.

9) Amalkan sunnah-sunnah harian setiap masa dan insyaAllah orang
lain akan tertarik kepada kita.

10) Jika wujud sebarang perasaan sombong atau benci terhadap orang
lain, terus ingatkan diri kita tentang mati. Kita mudah insaf dan
balik ke pangkal jalan apabila mengingati mati.

11) Sentiasa syukur dan redha atas pemberian Allah swt.

12) Sentiasa memberi salam dan ucap selamat kepada orang lain.
Pemberian salam akan mengukuhkan hubungan sesama manusia.

13) Pamerkan simpati kepada setiap individu-individu yang memerlukan
simpati dan perhatian.

14) Jadilah pendengar dan kawan yang setia.

15) Sampaikan berita baik tentang orang lain dan sembunyikan
kelemahan atau keburukan orang lain.

16) Sentiasalah bermaaf-maafan sebelum berpisah dengan seseorang dan
iringi perpisahan dengan doa.

Terlebih Dahulu Baiki Diri

Untuk menarik perhatian orang lain terhadap diri kita, kita perlu
terlebih dahulu menyayangi dan memperbaiki diri kita. Orang yang
mengasihi dirinya tidak akan melakukan sebarang kegiatan yang boleh
men-sabotaj dan merosakkan dirinya. Setiap tindak-tanduknya akan
dilakukan secara berhikmah dan sentiasa memikirkan perasaan
orang lain. Ingatlah pesanan seorang sarjana:

"Orang tidak kisah setakat mana yang anda tahu (berilmu),
sehinggalah mereka tahu yang anda kisah terhadap mereka"

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails