Dua Muka


.

pisau.jpg

“Sesak dada!”, keluh sahabat saya.

Memang sesak dada.

Ini kali pertama saya berada di Malaysia semasa kempen pilihanraya. Lama merantau di luar negara, kempen pilihanraya tidak menyesakkan dada. Jika saya rimas dengan laporan berita yang tidak tentu hala dan memperbodohkan manusia, saya tutup sahaja komputer, dan duduk bersama anak di tingkap rumah melihat daun kusam terbang ditiup angin sejuk.

Tetapi kini tidak lagi. Televisyen, radio, surat khabar, internet, sembang kedai kopi, sembang LRT… sesak dada dibuatnya.


AMERIKA SYARIKAT ITU

Saya iri hati dengan amalan kelas satu kempen pilihanraya di Amerika Syarikat. Negara taghut, negara kufar, negara zalim… sebutlah apa pun, tetapi negara itu tidak secara terbuka memperbodohkan rakyatnya. Debat umum untuk pemilihan calon presiden… memakan masa lebih setahun. Presiden yang naik, bukan dilantik di dalam mesyuarat parti yang menang, tetapi DIPILIH.

obamaclinton.jpg

Dipilih, bukan kerana dia dilakarkan rajin ke gereja, atau penyayang kepada orang tua, atau pernah menyumbang cek sebesar alas meja ke sebuah pertubuhan pencinta alam. Tetapi dia dipilih kerana seluruh pemikirannya dimuntahkan di pentas debat. Segala macam isu dikeluarkan dan dicanang habis-habisan. Segala-gala tentang cerdik, karisma, bijaksana, atau bercakap hanya dengan teks… yang sampah-sampah sudah tersingkir lama sebelum pertandingan mula berlangsung. Itu baru betul memilih.

Tetapi tidak di negaraku yang satu ini.

news.jpg

Televisyen memutar-mutar bahan-bahan yang menghina pemikiran rakyat…

KENAPA PERLUKAN SIARAN BERITA?

Apakah selama bertahun ini kita tidak punya mata untuk memerhati sendiri?

Apakah selama bertahun ini kita tidak punya telinga untuk mendengar sendiri?

Apakah selama bertahun ini kita tidak mengalami suka duka, pahit dan manis yang dirasakan sendiri?

Apakah selama ini kita kaku, tidak meneliti dan memerhati?

Mengapa harus segala yang diperhati, didengar, dan dirasakan sendiri selama ini… harus dipejamkan sahaja, lantas berita yang sehari dua ini mahu diambil kira?


Sesungguhnya kelemahan untuk membuat keputusan sendiri, hasil pemerhatian, pendengaran dan pengalaman sendiri, merupakan suatu kelemahan yang SANGAT MERBAHAYA. Ia bukan sekadar mangsa musim pilihanraya, tetapi mangsa tipu helah akhir zaman yang jauh LEBIH BENCANA.

Daripada Abu Hurairah bahawa sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda,

ruwaibidhah.jpg

“Sesungguhnya akan datang kepada manusia tahun-tahun yang menipu. (Pada masa itu) pendusta akan dianggap benar (dipercayai) , dan orang yang benar akan dianggap pendusta. (Ketika itu) pengkhianat akan dipercayai lalu dianggap sebagai seorang yang amanah. Dan (pada masa itu) akan bercakap-cakaplah golongan al-Ruwaibidhah” .

Baginda ditanya, “apakah al-Ruwaibidhah itu?”

Jawab Baginda SAW, “orang yang lekeh bercakap tentang urusan orang ramai”

Hadith riwayat Ahmad dan Ibn Majah serta yang lain-lainnya

Hargailah mata yang boleh melihat, telinga yang boleh mendengar, akal yang boleh berfikir dan hati yang boleh merasa. Membiarkan diri untuk dimanipulasi dengan begitu mudah oleh permainan golongan al-Mala’, adalah muqaddimah bencana jika sampai zaman munculnya PENDUSTA yang lebih besar dan dijanjikan Allah itu.

butahati.gif

“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar ? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada”
Surah Al-Hajj : Ayat 46

Hargailah nikmat Allah itu dengan memakainya.

“Seeru ‘ala barakatillah”

p/s : di ambil drp emel rakan.. original source from http://saifulislam.com/?p=1494.


3 Responses to “Dua Muka”

  1. sangat setuju dengan pendapat iu mengenai kempen di malaysia. waktu berkempen bagaikan waktu mencari musuh secara halal. maksudnya, cara yang dibenarkan undang-undang malaysia, iaitu mengutuk, menghina, mencerca, menipu, membohong, melantak, menabur duit, menabur fitnah, menabur khurafat dan macam-macam lagi. cuma tak sampai membunuh....

  2. salam,

    Sokong dengan artikel ni.. artikel ni boleh diperolehi di http://saifulislam.com/?p=1494.

    ok, wassalam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails